PETALING JAYA: Misi Indonesia untuk memburu kejuaraan sulung Piala AFF amat berliku selepas dibelasah 4-0 oleh Thailand dalam perlawanan akhir pertama, sebentar tadi.
Turun dengan reputasi sebagai juara lima kali, skuad Gajah Perang menjadi pilihan untuk muncul juara apabila final kedua berlangsung di Stadium Nasional, Singapura, Sabtu ini.
‘Messi Thailand’, Chanathip Songkrasin meneruskan aksi cemerlang apabila meledak dua gol.
Kapten Thailand itu meletakkan pasukannya di depan seawal minit kedua selepas menyambut hantaran Philip Roller untuk menewaskan penjaga gol lawan, Nadeo Argawinata.
Permainan pantas Thailand yang banyak bergerak menerusi sayap menjadi ancaman terbesar Indonesia.
Bersambung babak kedua, Indonesia yang menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan bagaimanapun dikejutkan dengan serangan balas pantas Thailand yang disudahkan Chanathip untuk kedudukan 2-0 pada minit ke-51.
Thailand memperoleh gol ketiga enam minit berselang menerusi Supachok Sarachat sebelum Bordin Phala melengkapkan pesta gol pasukannya, tujuh minit sebelum tamat perlawanan.