REMBAU: Pasukan Terengganu menguasai perlumbaan basikal Jelajah Negeri Sembilan 2021 yang berakhir hari ini apabila dua pelumbanya membolot tiga gelaran iaitu juara keseluruhan, Raja Pecut dan Raja Bukit.
Jersi kuning dimenangi Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim yang turut muncul meraih jersi merah (Raja Bukit), manakala rakan sepasukannya, Muhammad Faisal Izudin Ahmad Joyo meraih jersi hijau (Raja Pecut).
Hadiah kepada pemenang hari ini disampaikan oleh Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Peringkat ketiga dan terakhir perlumbaan yang berakhir di Dataran Rembau diungguli pelumba Majlis Sukan Negara (MSN), Zulhelmi Zainal, manakala Muhammad Faisal di tempat kedua, diikuti pelumba tuan rumah, Abdul Azim Aliyas ketiga.
“Penyertaan kami berbaloi apabila latihan selama 25 hari dari Terengganu ke Negeri Sembilan sejauh 3,000 kilometer mencapai sasaran.
“Saya berbangga dapat terus menyarung jersi kuning daripada peringkat pertama hingga terakhir dan ini memang sasaran kami dan ia berbaloi hasil latihan sebelum ini,” kata Muhammad Shahmir Aiman.
Sementara itu, Muhammad Faisal Izudin berkata, kejayaan yang diraihnya sangat berbaloi selepas dia terpaksa menahan kesakitan di bahagian tangan ekoran kemalangan yang dialami ketika sesi latihan di Nilai sebelum ini.
“Pada mulanya memang kecewa dengan diri sendiri tetapi apabila saya fikirkan semula, hanya tiga hari sahaja, jadi tidak mengapalah dan saya teruskan sahaja. Alhamdulilah, penyertaan kali ini berbaloi apabila muncul juara,” katanya.
Seramai 79 pelumba muda daripada 14 pasukan negeri termasuk dua kelab dan skuad pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) menyertai Jelajah Negeri Sembilan perlu mengharungi laluan sejauh 387 kilometer dengan Rembau (loop race) sebagai destinasi terakhir hari ini.
Perlumbaan tersebut dianjurkan Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan.