LONDON: Legenda Itali, Marco Tardelli menganggap Liverpool ‘sombong’ dalam gaya permainan mereka dan beberapa terjahan yang dilakukan ketika menentang Tottenham, Ahad lalu boleh mengundang masalah besar jika ia berlaku di Itali.
Tardelli percaya, taktik Liverpool ketika seri 2-2 dengan Tottenham terlalu agresif.
Bagaimanapun, pasukan itu hanya mengundang padah jika mengulangi aksi sama apabila berdepan Inter Milan pada pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara.
Reds akan menentang gergasi Serie A itu di San Siro pada 16 Februari, diikuti aksi timbal balik di Anfield pada 8 Mac.
“Saya dengar orang kata Liverpool tidak boleh ditewaskan dengan mudah tetapi bagi saya tidak, terutamanya menentang Inter.
“Paling penting, Inter perlu bermain dengan keyakinan dan berazam untuk meraih kemenangan.
“Mereka perlu berada di tahap yang tinggi dan turut menjaga hubungan lebih baik bersama pengadil,” kata bekas pemain tengah Inter dan Juventus itu.
Katanya, Inter tetap pasukan terkuat di Itali walaupun kehilangan pengurus, Antonio Conte, selain Romelu Lukaku dan Achraf Hakimi selepas memenangi gelaran musim lalu.
Tardelli yang juga pemenang Piala Dunia 1982 turut menganggap, kesalahan yang dilakukan Andrew Robertson ketika menentang Tottenham boleh menyebabkan Liverpool digantung 10 perlawanan jika ia dilakukan di Itali.
Robertson dibuang padang dalam perlawanan itu selepas melakukan kekasaran terhadap Emerson Royal. – AGENSI