PETALING JAYA: Selepas setahun ‘bersara’ daripada menyertai skuad kebangsaan, tekong wanita negara, Siti Nor Suhaida Jafri mahu kembali melibas di Sukan SEA Vietnam yang bermula pada 12 Mei tahun hadapan.
Pemenang pingat perak Sukan SEA 2017 itu ternyata tidak sabar untuk kembali beraksi dan mahu membantu pasukan negara mengulangi kejayaan tersebut ketika di Sukan SEA menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah ketika itu.
Kali terakhir Suhaida Jafri atau lebih dikenali sebagai Haida Jafri beraksi adalah dalam Sukan Asia 2018 Palembang.
Skuad wanita negara ketika itu gagal melayakkan diri ke separuh akhir selepas hanya mencatat satu kemenangan daripada empat perlawanan.
“Saya menerima tawaran untuk menyertai skuad takraw wanita negara dan akan melapor diri pada Januari depan.
“Saya sudah sasarkan untuk kembali beraksi pada Sukan SEA di Vietnam tahun depan dan mahu membantu malaysia meraih pencapaian lebih baik daripada sebelum ini.
“Jadi dengan masa yang lebih kurang tidak sampai lima bulan ini, saya bersama pasukan perlu lebih bekerja keras dan memberikan 100 peratus fokus dalam latihan supaya dapat berada di dalam keadaan yang terbaik untuk kejohanan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada September 2020 lalu, tekong berusia 25 tahun itu menarik diri daripada menyertai skuad kerana mahu memberikan sepenuh perhatian kepada anak dan perniagaan makanannya dikenali sebagai Nasi Gulai Tekong.
Selain giat membuat persiapan ke Sukan SEA 2022, Suhaida turut sibuk melibatkan diri sebagai pengacara Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 yang bermula pada 7 Januari tahun hadapan.