PORTO: Luis Suarez menangis teresak-esak selepas dikeluarkan seawal minit ke-13 akibat kecederaan ketika Atletico Madrid melakar kemenangan penting 3-1 ke atas Porto untuk membawa mereka ke peringkat 16 akhir Liga Juara-Juara.
Kedua-dua pasukan turun di Estadio do Dragao semalam dengan misi wajib menang bagi mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati.
Kecederaan Suarez menyebabkan keadaan bertambah tegang kerana dia menjadi harapan Atletico untuk meledak gol.
Rakan-rakan sepasukannya terpaksa menenangkan bintang Uruguay itu yang tampak amat beremosi di tepi padang.
Matheus Cunha kemudian dibawa masuk menggantikan Suarez dan bergandingan dengan Antoine Griezmann.
Kesedihan penyerang berusia 34 tahun itu bagaimanapun reda apabila melihat pasukannya melakar kemenangan.
Jaringan Griezmann, Angel Correa dan Rodrigo De Paul membolehkan Atletico Madrid muncul naib juara Kumpulan B di belakang juara enam kali, Liverpool. – AGENSI