LONDON: Gara-gara aksi ‘siuu’ ketika meraikan gol kelmarin, status Cristiano Ronaldo untuk diturunkan dalam perlawanan pertama di bawah bimbingan Ralf Rangnick hari ini tidak menentu.
Menurut The Sun, lutut bintang Portugal itu cedera ketika melakukan aksi trademark berlari di tepi padang, melompat sambil memusingkan badan dengan tangan merentang untuk meraikan jaringan dalam perlawanan menentang Arsenal.
Ronaldo yang meledak dua jaringan dan memahat sejarah muncul pemain bola sepak pertama menjaringkan 801 gol buat kelab dan negara kemudian dikeluarkan pada minit ke-88.
Ketiadaan penyerang itu tamparan hebat buat Rangnick yang memulakan tugas pertama sebagai pengurus sementara dengan menentang Crystal Palace di Old Trafford.
Rangnick sebelum itu memberi bayangan Ronaldo berada dalam perancangan selepas melihat kehebatannya ketika menewaskan Arsenal 3-2.
“Anda perlu menyesuaikan gaya atau idea bola sepak mengikut kesesuaian pemain yang ada, bukan sebaliknya.
“Selepas melihat aksi Cristiano di babak kedua ketika menentang Arsenal, pada usia 36 tahun, dia seorang profesional yang hebat.
“Pada usianya, saya tidak pernah melihat pemain lain yang masih cergas secara fizikal. Dia pemain yang mampu membawa perubahan dengan mudah.
“Sekarang saya perlu memikirkan bagaimana hendak membangunkan seluruh pasukan dan tidak bertumpu kepada Ronaldo semata-mata.
“Kami bermain dalam liga paling kompetitif di dunia, jadi kami memerlukan semua pemain untuk menyertainya,” kata jurulatih kelahiran Jerman itu.
Sama seperti pengurus legenda United, Alex Ferguson, Rangnick mementingkan ‘kawalan’ penuh.
“Saya menonton beberapa perlawanan United, termasuk menentang Watford, Chelsea, Liverpool dan Manchester City.
“Sasaran utama saya beberapa hari ini adalah membawa keseimbangan dan lebih kawalan dalam pasukan.
“Kalau dilihat jaringan keseluruhan yang dilepaskan, purata kami dibolosi adalah dua gol dalam setiap perlawanan, itu rekod yang sangat teruk,” katanya. – AGENSI