PETALING JAYA: Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadimenyeru 24 pemain yang menggalas tanggungjawab Piala AFF di Singapura mengambil aura Kuala Lumpur City (KL City) yang memenangi Piala Malaysia selepas 32 tahun menanti.
Katanya, ramai terkejut dan tidak menjangkakan KL City mampu menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjadi pilihan utama kerana memiliki pemain, fasiliti dan banyak perkara lain yang jauh meninggalkan pesaingnya dalam Liga Malaysia (Liga M).
Beliau juga berharap pemain tidak menjadikan kekurangan dan tempoh persediaan singkat sebagai alasan untuk tidak mencapai keputusan terbaik atau mengulangi pencapaian 2018 iaitu layak ke final.
“Memang persediaan kita untuk menghadapi Piala AFF kali ini agak kurang tidak seperti kita jangkakan, semua sedia maklum Liga Malaysia baru saja berakhir dan pemain-pemain yang kita kumpulkan tidak dapat bermain dalam perlawanan persahabatan.
“Jadi, untuk kita menilai keseluruhan pasukan dari segi kekuatan dan kelemahan memangnya tidak dapat dilakukan dengan baik tetapi saya harap pemain tidak menjadikan ia sebagai alasan bahi mencapai keputusan yang baik pada kempen kali ini.
“Saya mengambil contoh paling hampir berlaku iaitu di kempen Piala Malaysia tahun ini, apabila kita melihat tiada siapa menjangkakan Kuala Lumpur boleh mengalahkan JDT jika diambil kira daripada segi kekuatan pasukan serta semua faktor.
“Tetapi semangat pemain-pemain lebih penting pada hari perlawanan sebenar iaitu keinginan tinggi untuk menang dan ia lebih penting daripada proses persediaan. Pemain yang kita kumpul adalah yang terbaik dalam negara dan dikumpulan bersama.
“Semangat bermain bersama sebagai satu berpasukan dan untuk menang akan menentukan sama ada kita mampu atau tidak memenangi sesuatu perlawanan,” jelasnya.
Malaysia yang juga naib juara edisi lalu akan membuka kempen Kumpulan B menentang Kemboja esok, diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember) bagi memburu dua tempat teratas ke separuh akhir.