JAKARTA: Jurulatih Vietnam, Park Hang Seo masih berterusan ‘membebel’ dan membantah tentang makanan nasi bungkus selepas pasukan Golden Star Warriors layak ke separuh akhir Piala AFF 2020 (Piala AFF 2021).
CNN Indonesia melaporkan, Vietnam disahkan layak ke separuh akhir selepas menewaskan Kemboja pada perlawanan terakhir Kumpulan B, semalam.
Kemenangan itu menjadikan Vietnam layak ke separuh akhir Piala AFF sebagai naib juara Kumpulan B.
Namun, biarpun sudah layak ke separuh akhir, Hang Seo tetap merungut kerana makanan nasi bungkus sepanjang Piala AFF yang dianggap kekurangan nutrisi pemain.
“Selepas datang ke sini, setiap perlawanan kami perlu mencuba yang terbaik. Namun, masalah pemakanan masih belum selesai sepenuhnya. Pemain Vietnam masih makan dengan nasi bungkus. Persekutuan Bola Sepak Vietnam telah memberikan bantuan, tetapi ia tidak mencukupi,” kata Park dipetik daripada 24h.com.
Sejak bermulanya Piala AFF 2020, Vietnam menjadi pasukan yang paling banyak merungut tentang makanan.
Selain merungut mengenai mutu perkhidmatan makanan pada Piala AFF, Vietnam turut membantah mereka tidak boleh makan daging babi pada acara dwitahunan itu.
Sebaliknya, Hang Seo tidak kisah pasukannya kurang masa rehat berbanding Thailand yang bakal menjadi lawan di separuh akhir.