Saya akan rayu sehabis boleh - Utusan Malaysia

Saya akan rayu sehabis boleh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun ibarat ‘dihempap batu besar’ selepas digantung empat tahun atas kesalahan doping, Azroy Ha­zalwafie Izhar akan melakukan apa sahaja untuk merayu kerana semangat mahu berbakti kepada negara masih membaara.

Kelmarin, pemenang ­pingat emas angkat berat Sukan Komanwel 2018 itu digantung empat tahun bersama atlet remaja, Ikram Haikal Zuari, 19, berkuatkuasa dari 16 Julai lalu hingga 15 Julai 2025.

Kata Azroy, empat tahun adalah tempoh yang sangat panjang dan beliau berharap Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dapat membantunya menyediakan surat rayuan dalam masa terdekat.

“Ramai yang bertanya adakah saya akan bersara atau tidak, jawapan saya ialah saya tetap mahu beraksi selagi mampu dan sekiranya ada rezeki.

“Saya mahu bertanding dalam Sukan Komanwel (Birmingham 2022).

“Isu positif doping dalam kalangan atlet angkat berat bukan perkara baharu, jadi saya tidak akan patah semangat dan akan terus bertanding selepas selesai hukuman pergantungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketika ditanya, apakah hujah yang mahu dibawa dalam ­proses rayuan, atlet berusia 27 tahun itu berkata, perinciannya akan ditentukan dalam masa terdekat selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden PBAM, Datuk Ayub Rahmat.

“Saya tidak dapat memastikan lagi secara terperinci berkaitan perisian yang ingin diketengahkan tetapi surat rayuan untuk meringankan hukuman akan dibuat dalam masa terdekat selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden PABM.

“Bagi saya, semuanya sudah ditentukan Allah. Mungkin perkara yang berlaku hari ini ada hikmah di masa hadapan dan semoga ada rezeki yang ­lebih meluas apabila selesai hukuman pergantungan nanti.

“Doakan rayuan saya diterima,” katanya.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan kelmarin mengesahkan, Azroy dan Ikram telah melanggar artikel 2.1 dan 2.2 peraturan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) yang membawa kepada penggantungan empat tahun daripada sebarang aktiviti angkat berat.

Kedua-dua sampel mereka diuji positif menerusi Dapatan Analisis Memudaratkan (AAF) menggunakan bahan terlarang yang mengandungi metandienone yang disenaraikan sebagai Anabolic Androgenic Steroid di bawah senarai terlarang Agensi Anti Doping Dunia (Wada).

Bagaimanapun menurut KBS, kedua-dua atlet berkenaan boleh mengemukakan rayuan secara bertulis membabitkan keputusan itu kepada ADAMAS dalam tempoh 21 hari untuk tindakan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya