LIVERPOOL: Mohamed Salah meledak dua gol ketika Liverpool melakar kemenangan terbesar di Goodison Park dalam tempoh 39 tahun dengan membenam Everton 4-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Reds hanya memenangi satu daripada sembilan kunjungan ke Everton, namun hari ini mereka mempamer penguasaan penuh sejak wisel permainan ditiupkan.
Liverpool tidak menunjukkan belas kasihan kepada bekas pengendalinya, Rafael Benitez yang mungkin membimbing Everton dalam aksi terakhir selepas hanya mengutip dua mata daripada 24 mata terakhir ditawarkan.
Rembatan cantik kapten, Jordan Henderson meletakkan Reds di depan seawal minit kesembilan, sebelum Salah menggandakan kedudukan pada minit ke-19.
Rembatan Demarai Gray memberi harapan buat Toffees dengan merapatkan jurang di minit ke-38.
Begitupun, penyudah klinikal Salah pada minit ke-64 menyukarkan Everton. Salah kini meledak 19 gol dalam 19 perlawanan musim ini.
Diogo Jota mengesahkan kemenangan sensasi Reds dengan meledak gol keempat, 12 minit sebelum tamat permainan.
“Ia keputusan yang hebat di Goodison Park dan kami mempamer aksi menakjubkan.
“Menang 4-1 di sini dan mengalahkan Manchester United dengan lima gol, kami melakukan kerja yang baik dalam liga.
“Harap ia dapat diteruskan dan saya mahu meledak lebih banyak gol buat kelab. Saya mahu memenangi sesuatu musim ini, Liga Perdana atau Liga Juara-Juara, lebih bagus jika menang kedua-duanya,” kata Salah.
Bintang Mesir itu turut ditanya tentang anugerah Ballon d’Or yang menyaksikan dia sekadar menduduki tangga ketujuh.
“Tiada komen!” jawabnya sambil ketawa. – AGENSI