PETALING JAYA: Red Eagle FC muncul juara karnival bola sepak wanita di bawah seliaan Women in Football Malaysia (WIF) selepas menewaskan Sri Kandi FC menerusi jaringan 1-0 di Kopa Arena, Universiti Sains Malaysia (USM), Ahad lalu.
Penganjur utama, Boldpod berkata, pertandingan selama dua hari yang melibatkan empat pasukan iaitu Red Eagle FC, Sri Kandi FC, Ale Ale FC dan Penang Indian FA itu telah membuka mata dan peluang kepada kaum wanita untuk lebih menyerlah dalam bola sepak.
“Boldpod bukan sahaja telah menjadikan karnival ini suatu kenyataan malah membuka mata dan peluang kepada kaum wanita untuk menyerlah dan mempunyai azam untuk bermain bola sepak bersungguh-sungguh apabila wadah sebegini disediakan.
“Walaupun pulangan bagi pelaburan yang dibuat oleh pihak Boldpod tidak nampak nyata dalam masa terdekat namun kesan dari penganjuran ini tetap dirasai dan akan menjadi asas kepada perkembangan bola sepak wanita,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam karnival itu, Movement First yang diasaskan Suzzen Chong telah menawarkan khidmat pertolongan cemas dan rawatan, manakala barisan pengadil terdiri daripada wanita sepenuhnya yang diketuai Felicia Adele Ng.
Pembekal pakaian sukan, Zush juga bermurah hati dengan menaja sepasang jersi pasukan untuk setiap pemain yang mengambil bahagian, manakala Atlead Pass pula menyumbangkan statistik perlawanan.
“Justeru, peluang untuk kaum wanita menyertai karnival ini tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa kerjasama dari penaja-penaja yang sentiasa menyokong penglibatan wanita dalam arena bola sepak.
“Penglibatan serta khidmat kaum lelaki masih diperlukan bagi membantu melancarkan karnival ini dan kami amat berterima kasih kepada Boldpod kerana memberikan peluang ini kepada kaum wanita,” kata pengasas WIF, Mutiara Bahir.