MANCHESTER: Bekas pemain Manchester United, Park Ji-sung percaya, Son Heung-min mampu cemerlang di Old Trafford dan menyeru Red Devils membeli penyerang Tottenham itu.
Heung-ming, 29, telah mengukuhkan kedudukan sebagai antara penyerang terbaik Liga Perdana Inggeris sejak menyertai Spurs pada 2015 dengan meledak 76 gol, 41 gerakan jaringan dalam 211 penampilan.
Ji-sung yang pernah memenangi empat gelaran Liga Perdana dan satu Liga Juara-Juara bersama United yakin, rakan senegaranya dari Korea Selatan itu mampu menjadi bintang di Old Trafford.
“Dia sudah membuktikan kemampuan dalam Liga Perdana dan saya percaya, dia cukup bagus buat United.
“Isu utama ketika ini, dia mungkin tidak akan mendapat jersi No. 7 yang kini milik Cristiano Ronaldo, namun itu cuma masalah kecil,” kata Ji-sung.
Ji-sung juga mengakui, dia tidak terkejut Ronaldo mampu memberi impak dalam tempoh yang pantas sejak kembali ke Old Trafford.
“Ia tidak mudah dan jarang ada pemain mampu beraksi baik apabila kembali ke United selepas meninggalkan kelab itu untuk tempoh yang panjang.
“Ronaldo pemain yang sentiasa mahu menjadi lebih baik setiap hari, dia memberi tekanan kepada diri sendiri sepanjang masa.
“Ramai mengatakan prestasinya menakjubkan pada usia 36 tahun tetapi sebagai bekas rakan sepasukan yang pernah melihatnya melakukan semua ini, saya percaya ia semula jadi, tiada apa yang mengejutkan,” katanya.
Sementara itu, menjelang pertemuan dengan Norwich hari ini, United belum dapat menggunakan Raphael Varane dan Edinson Cavani yang baru pulih daripada kecederaan. – AGENSI