PARIS: Daripada kapten Real Madrid dan Sepanyol yang disegani, Sergio Ramos kini menjadi bahan jenaka penyokong Paris Saint-Germain (PSG) gara-gara layangan kad merah yang diterimanya minggu lalu.
Ramos, 35, menerima kad merah ke-27 dalam kariernya hanya dalam penampilan ketiga bersama gergasi Perancis, PSG ketika pasukan itu seri 1-1 dengan Lorient, 23 Disember lalu.
Bekas bek kental Real itu dibawa masuk pada separuh masa kedua dan dibuang padang sembilan minit sebelum tamat permainan kerana menghadang Terem Moffi daripada menyempurnakan peluang terbaik sebelum berpura-pura jatuh di atas padang.
Biarpun insiden itu sudah beberapa hari berlaku, penyokong PSG masih menjadikan pemain veteran tersebut sebagai bahan jenaka di media sosial.
“Sergio Ramos dan kad merah ibarat kisah cinta yang sempurna,” kata beberapa peminat kelab Perancis tersebut.
“Sergio Ramos dan kad merah adalah gandingan terbaik yang kita nantikan selama ini,” tulis seorang lagi peminat.
“Sergio Ramos sudah kembali ke prestasi terbaik, dia dilayangkan kad merah buat kali pertama bersama PSG. Selamat kembali,” tulis peminat yang lain dengan nada sinis.
“Raja kad merah sudah kembali. Sergio Ramos adalah pemain terhebat sepanjang zaman,” kata peminat.
Penyokong PSG turut menyifatkan kad merah umpama DNA Ramos dan ia sukar dipisahkan.
Ramos menerima 21 kad merah dalam kempen La Liga, lapan lebih banyak daripada bekas pemain tengah Portsmouth, Inter Milan dan AC Milan, Sulley Muntari.
Kad merah yang diraihnya minggu lalu bagaimanapun adalah yang pertama bersama PSG, manakala 26 yang lain hadir sepanjang 16 tahun dia menyarung Los Blancos.
Rekod penerima kad merah terbanyak masih dipegang oleh bekas bintang tengah Colombia, Gerardo Bedoya, yang dibuang padang 46 kali sepanjang kariernya. – AGENSI