JEDDAH: Juara Formula Satu (F1) 2021 hanya akan ditentukan dalam aksi terakhir di Abu Dhabi, Ahad ini selepas Lewis Hamilton ‘mengikat’ Max Verstappen dengan menjuarai perlumbaan ketiga berturut-turut pada Grand Prix (GP) Arab Saudi, awal pagi tadi.
Hamilton yang ketinggalan di belakang pelumba Red Bull itu dalam sebahagian besar saingan musim ini mengejar kedudukan pendahulu dunia dengan berkongsi 369.5 mata.
Bagaimanapun, jika kedua-dua pelumba gagal mengutip mata di Abu Dhabi, gelaran dunia akan menjadi milik Verstappen yang mengumpul sembilan kemenangan.
“Saya sudah lama berlumba tapi persaingan kali ini paling sengit dan sukar,” kata Hamilton, yang mendapat mata tambahan selepas merakam pusingan terpantas.
Pemandu Mercedes dari Britain itu akan merangkul gelaran dunia buat kali kelapan jika mengatasi Verstappen di Abu Dhabi.
Dalam Grand Prix Arab Saudi yang kali pertama dianjurkan, Hamilton berada di belakang Verstappen hampir sepanjang perlumbaan 50 pusingan itu yang terpaksa dihentikan dua kali kerana kemalangan.
Begitupun Hamilton yang bahagian depan keretanya rosak akibat terlanggar belakang jentera Verstappen, bangkit memenangi perlumbaan kelapannya musim ini dan ke-103 kariernya di hujung saingan.
Verstappen menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan 11.825 saat di belakang Hamilton dan dikenakan penalti lima saat kerana pelanggaran dengan pemandu Mercedes itu sebelum menerima penalti 10 saat lagi.
“Saya hanya mahu berlumba dan sukan ini lebih kepada penalti berbanding berlumba.
“Bagi saya ia bukan Formula 1, tetapi sekurang-kurangnya saya menikmatinya, cuma tidak cukup pantas,” kata Verstappen.
Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas mengatasi pelumba Alpine Esteban Ocon untuk tempat ketiga yang memberikan Mercedes kelebihan 28 mata dalam kejuaraan pengeluar. – AGENSI