IPOH: Bahang Liga Sepak Takraw (STL) semakin dirasai apabila Perak Bison, antara pencabar utama kejohanan musim 2021/2022 akan mengumumkan barisan pemainnya hari ini.
Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Mohd. Jaffrey Mohd. Zainol berkata, pemain sudah memulakan latihan sejak sebulan setengah lalu di bawah bimbingan jurulatih, Suhairi Abd. Aziz.
Katanya, pasukan itu masih mendapat khidmat lima pemain skuad musim lalu dan akan memperkenalkan beberapa muka baharu.
‘Kami berharap mampu memberi saingan dalam saingan kali ini,” katanya.
Edisi kelapan STL akan membuka tirai pada 7 Januari dan berlangsung selama hampir tiga bulan sehingga 27 Mac.
Jaffrey yang juga pengurus pasukan Perak Bison berkata, mereka bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kejohanan yang bakal diadakan di beberapa lokasi, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang dan Ipoh.
“Kejohanan akan berlangsung di Kuala Lumpur selama Lima minggu. Ia kemudian diadakan di negeri-negeri selama tiga minggu berturut-turut selepas itu,” katanya.