Peng Soon, Liu Ying berpisah selepas 13 tahun - Utusan Malaysia

Peng Soon, Liu Ying berpisah selepas 13 tahun

PENCAPAIAN terbaik Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying adalah meraih pingat perak pada Sukan Olimpik 2016 di Rio.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas 13 tahun bersama, pasangan Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying akhirnya mengumumkan untuk berpisah.

Perkara itu diumumkan Peng Soon hari ini, iaitu beberapa jam selepas Ling Ying memohon maaf kepada penaja dan peminat kerana terpaksa menarik daripada Kejohanan Dunia yang akan bermula di Sepanyol, Ahad ini.

Kedua-dua pemain bagaimanapun tidak memberitahu, apakah mereka masih akan meneruskan karier bersama pasangan baharu atau mengundur diri daripada sukan badminton.

“Jelajah Dunia Akhir (di Bali) minggu lalu adalah perlawanan terakhir saya bersama Liu!

CHAN Peng Soon (kanan) dan Goh Liu Ying akan berpisah selepas 13 tahun bergandingan.

“Serius, ia sangat…sangat…sangat sukar untuk membuat keputusan ini, apatah lagi kami sudah lama bersama.

“Kami meraih kejayaan bersama, gagal bersama. Kami berkembang bersama…

“Proses dan memori sepanjang tahun itu muncul dalam fikiran saya.

“Terima kasih semua yang menyokong kami mengharungi 13 tahun ini. Dari 2008 hingga 2021.

“Akhir sekali, terima kasih Goh Liu Ying kerana begitu lama berjuang dengan saya, membantu saya dan menjadikan saya pemain badminton yang baik,” katanya dalam media sosial.

Pencapaian terbaik Peng Soon, 33, dan Liu Ying, 32, adalah memenangi pingat perak beregu campuran dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Mereka juga memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2010 di New Delhi serta pelbagai kejuaraan antarabangsa.

Terdahulu, Liu Ying dalam hantaran penuh emosi mengakui, badannya sudah tidak mampu untuk meneruskan cabaran pada Kejohanan Dunia, terutama selepas beraksi dalam enam kejohanan sejak Oktober lalu.

CHAN Peng Soon (kiri) dan Goh Liu Ying.

“Mungkin disebabkan faktor usia (semakin meningkat), tubuh badan saya mengambil masa untuk pulih sekali gus menyukarkan untuk kami berdua berada pada tahap prestasi terbaik. Satu lagi kejohanan akan menambah bebanan ke atas tubuh badan kami.

“Ia sekali gus tidak membolehkan kami untuk mencapai matlamat yang kami tetapkan. Selain itu, faktor pandemik (Covid-19) juga menghadirkan kebimbangan kepada kami.

“Selepas mempertimbangkan semua perkara, kami buat keputusan untuk menarik diri. Saya sedar Kejohanan Dunia adalah sangat bermakna buat semua atlet.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat membawa cabaran Malaysia kali ini. Saya memang sudah tidak boleh tahan, terima kasih kepada semua termasuklah penaja kami… tanpa anda kami tidak dapat menyertai kejohanan,” kata Liu Ying menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Beregu No. 9 dunia itu tersingkir pada separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia minggu lalu selepas tumpas kepada Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya