LONDON: Jaringan pemain gantian, Divock Origi pada waktu kecederaan membawa Liverpool ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas menumpaskan Wolverhampton 1-0 di Stadium Molineux, sebentar tadi.
Ketika perlawanan seperti akan berakhir dengan keputusan seri, Origi merembat bola memasuki minit keempat waktu kecederaan untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat Reds.
Anak-anak buah Jurgen Klopp memanfaatkan kekalahan 2-3 Chelsea kepada West Ham beberapa minit sebelum perlawanan untuk memimpin liga dengan kelebihan satu mata.
Juara bertahan, Manchester City bagaimanapun bakal menjadi pendahulu baharu jika menumpaskan Watford dalam aksi yang akan bermula sebentar lagi.
Biarpun memperoleh banyak peluang untuk mencipta jaringan menerusi Diogo Jota dan Mohamed Salah, namun ketangkasan penjaga gol tuan rumah, Jose Sa mengecewakan Liverpool.
Memasuki babak kedua, Reds sekali lagi berpeluang menamatkan kebuntuan selepas Sa sudah meninggalkan posisi.
Begitupun, rembatan Jota, yang diejek penyokong bekas pasukannya setiap kali mendapat bola berjaya dihadang pemain pertahanan, Conor Coady.
Wolverhampton bakal berdepan tugas getir dalam perlawanan seterusnya apabila bertandang ke Manchester City, Sabtu depan.
Liverpool pula akan berkunjung ke Itali, Rabu ini untuk berdepan AC Milan dalam saingan Liga Juara-Juara.
Reds kemudian menyambut kepulangan legenda mereka, Steven Gerrard di Anfield apabila berdepan Aston Villa, Sabtu depan.
Sementara itu, Newcastle United melakar kemenangan pertama musim ini dengan menumpaskan Burnley 1-0, manakala Southampton seri 1-1 dengan Brighton. – AGENSI