PETALING JAYA: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menegur pemain The Red Warriors (TRW) agar menjaga berat badan jika mahu mengekalkan prestasi terbaik.
Tidak menyebut kepada siapa teguran ditujukan, namun Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham dipercayai membalas sindiran beberapa bekas pemain TRW yang sebelum ini menyuarakan rasa tidak puas hati selepas kontrak mereka tidak disambung.
Kata Norizam, sebagai pemain bola sepak profesional, pemain perlu menjaga berat badan agar mereka mampu menampilkan persembahan terbaik di atas padang.
“Berat badan kena jaga sebagai pemain bola.
“Kalau berat badan macam saya tak perlu jadi pemain tapi jadilah pemilik kelab. Baru tau (tahu) pening atau tidak nak jaga pemain yang tahap kecergasan dan berat badan tak jaga,” kata Norizam dalam Facebook semalam.
Kenyataan Norizam itu mendapat perhatian penyokong TRW, malah ada yang berkata, banyak kelab mengenakan denda ke atas pemain yang mempunyai masalah berat badan.
“Betullah, berat badan kena jaga sebab itu ada kelab bola sepak mempunyai peraturan, denda jika berat badan pemain naik,” tulis Izzat Razali.
“Badan pemain bola sepak bukan sahaja perlu ideal tapi tegap. Lihat pemain seperti Cristiano Ronaldo, Neymar dan Lionel Messi,” tulis Abdul Rahman Samad.
Kelantan melakukan rombakan besar bagi menghadapi Liga Perdana musim depan dengan hanya mengekalkan 10 pemain.
Mior Dani Armin, Syed Sobri Syed Mohamad, Dzulfahmi Abdul Hadi, Nathanael Siringo Ringo, Ghaffar Rahman, Nushamil Abdul Ghani, Arip Amiruddin, Yusri Yushamadi dan dua penjaga gol Asfa Abidin serta Nik Mohd. Amin Ahmad dikekalkan.
Pasukan itu belum mengumumkan senarai import yang akan dibawa masuk bagi memastikan TRW mampu tampil lebih garang musim depan selepas menduduki tangga keenam dalam Liga Perdana tahun ini.