LONDON: Mason Mount meledak gol dan mencipta gerakan jaringan untuk membantu Chelsea mengekalkan kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris dengan menumpaskan Watford 2-1 awal pagi tadi.
Ketika Manchester City dan Liverpool turut memenangi perlawanan masing-masing, Chelsea mendapati mereka jatuh ke tangga ketiga berbaki 20 minit terakhir selepas terikat 1-1.
Bagaimanapun, Blues yang mengharungi malam sukar, terutama selepas melakukan banyak pertukaran berjaya memperoleh gol kemenangan menerusi Hakim Ziyech pada minit ke-72.
Beraksi di tempat lawan, Chelsea membuka jaringan pada minit ke-29 menerusi Mason Mount.
Mount yang menerima hantaran Kai Havertz dalam kotak penalti melepaskan rembatan rendah ke penjuru kiri gawang.
Emmanuel Dennis bagaimanapun menyamakan kedudukan buat Watford pada minit ke-43.
Ziyech memastikan kemenangan milik Blues selepas melakukan tendangan jarak dekat hasil umpanan Mount.
Chelsea memimpin liga dengan 33 mata, hanya satu mata mengatasi City, manakala Liverpool di tangga ketiga dengan 31 mata. – AGENSI