PETALING JAYA: Bukan masalah fizikal atau permainan tetapi mental Lee Zii Jia yang ‘koyak’ perlu distabilkan jika jaguh perseorangan negara itu serius mahu mencabar kejuaraan badminton dunia di Sepanyol bermula hujung minggu ini.
Bekas pemain No. 1 dunia, Roslin Hashim berkata, prestasi Zii Jia merudum selepas mengharungi lapan pertandingan berturut-turut, iaitu lima di Eropah dan tiga di Bali, Indonesia.
Tiga kekalahan di Bali menyebabkan pemain kelahiran Kedah itu berlepas ke Huelva dalam keadaan meresahkan.
“Ya betul, secara keseluruhan prestasi Zii Jia sudah jatuh. Dia kena lakukan post-mortem (pasca nilai) dalam usaha meningkatkan kembali motivasinya.
“Paling mustahak stabilkan semula mental dia, sebab kalau fizikal saya fikir tiada masalah sebab dia akan rehat dan semua akan pulih kembali, tak macam mental.
“Terpulang kepada Zii Jia bagaimana dia mahu menstabilkan mentalnya. Saya fikir dia pasti sudah ada program untuk memulihkan masalah ini menjelang Kejohanan Dunia,” kata Roslin kepada Utusan Malaysia, semalam.
Zii Jia menarik diri seawal pusingan pertama Masters Indonesia akibat kecederaan pinggang ketika berdepan Rasmus Gemke, sebelum tewas kepada pemain Denmark itu, juga dalam aksi pembukaan Terbuka Indonesia seminggu kemudian.
Pada Jelajah Dunia Akhir minggu lalu, langkahnya tersekat di separuh akhir selepas mengejut 18-21, 18-21 kepada Kunlavut Vitidsarn.
Dia sebelum itu mudah mengalahkan pemain Thailand tersebut pada aksi peringkat kumpulan.