LONDON: Biarpun berulang kali menegaskan, fokusnya tidak terganggu dan enggan bermain sentimen apabila membimbing Aston Villa menentang Liverpool di Anfield hari ini, namun Steven Gerrard sukar menyembunyikan emosinya.
Di media sosial, penyokong Liverpool mengucapkan selamat kembali kepada bekas kapten mereka yang membuat penampilan terakhir di Anfield pada 2015.
Beraksi dalam 504 perlawanan sepanjang sembilan tahun menyarung jersi Reds, Gerrard mengetuai Liverpool menjulang kejuaraan Eropah 2005 dan membimbing Rangers muncul juara Liga Scotland musim lepas sebelum mengambil alih Villa bulan lalu.
Pengendali berusia 41 tahun itu membawa impak dalam lima perlawanan pertama bersama Villa apabila mengeluarkan kelab dari zon penyingkiran, mencatat empat kemenangan daripada lima perlawanan.
Satu-satunya kekalahan yang dialami adalah tewas tipis 1-2 kepada pendahulu liga, Manchester City.
Dia dilihat sebagai calon terbaik untuk membimbing Liverpool jika Jurgen Klopp berundur sebaik sahaja kontraknya tamat pada 2024.
“Saya hanya pergi ke sana (Anfield) untuk memenangi perlawanan dan membawa pulang sebanyak mata yang boleh.
“Standard kami mungkin tidak sama dengan Liverpool tetapi kami akan mengeluarkan semua yang ada untuk mencari kemenangan.
“Saya tidak berminat untuk bercakap soal sentimen atau emosi. Sebagai pengurus profesional, saya hanya mahu yang terbaik untuk pasukan yang saya bimbing tetapi saya tidak boleh menutup mulut orang daripada bercakap tentang perkara itu,” kata Gerrard.
Reds kini berada pada prestasi terbaik dengan hanya kalah sekali musim ini dan menduduki tangga kedua liga, satu mata di belakang City.
Selepas merehatkan ramai tonggak ketika menumpaskan AC Milan 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu Liverpool bersedia menurunkan barisan terbaik untuk menerima kunjungan Villa. – AGENSI