Malaysia memang tak layak ke separuh akhir Piala AFF - Utusan Malaysia

Malaysia memang tak layak ke separuh akhir Piala AFF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia memang tidak layak untuk mara ke separuh akhir Piala AFF, kata bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak.

Zaquan menganggap, persiapan yang tidak cukup dan terlalu singkat punca utama Harimau Malaya dibenam 4-1 oleh Indonesia malam tadi, sekali gus tersingkir dari saingan.

Turun dengan sasaran mara ke final, Malaysia sebaliknya menamatkan kempen di Singapura dengan menduduki tangga ketiga Kumpulan B di belakang Indonesia dan Vietnam.

Harimau Malaya gagal memenuhi sasaran mara ke perlawanan akhir.

“Persiapan Indonesia dan Malaysia jauh sangat hendak dibandingkan, Indonesia berlatih di luar negara.

“Kita tahu Indonesia ada persediaan yang cukup, Vietnam ada persiapan cukup, kita tolak tepi Kemboja dan Laos,” kata Zaquan ketika menjadi tetamu Astro Arena malam tadi.

Zaquan, antara tonggak yang membawa Malaysia ke final tiga tahun lalu bagaimanapun meminta peminat agar tidak menyalahkan pemain atau jurulatih sepenuhnya atas kegagalan pasukan.

Kapten Negeri Sembilan itu sebaliknya menyeru semua pihak mengambil ikhtibar agar kesilapan sama tidak diulangi pada kejohanan akan datang kerana pasukan negara sudah pincang sebelum sepak mula lagi apabila hanya menyenaraikan 24 pemain selain kesuntukan masa untuk persiapan rapi.

INDONESIA melakukan persiapan lebih baik berbanding Malaysia dengan berlatih di luar negara.

Dengan kempen Piala Malaysia berakhir pada 30 November lalu, tidak banyak yang dapat dilakukan pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe yang hanya mempunyai kurang seminggu untuk mempersiapkan pasukan.

Cheng Hoe juga kehilangan beberapa tonggak akibat kecederaan, malah berdepan dugaan besar di Singapura apabila empat pemain dijangkiti Covid-19.

Sementara itu, Zaquan turut menegur pengurusan pasukan dalam menentukan pemilihan pemain, terutama mereka yang kurang mendapat minit permainan.

“Secara jujurnya mungkin dari segi pemilihan pemain. Minit permainan pemain yang diberi peluang.

“Saya tidak menyalahkan pemain dan jurulatih yang ada sekarang. Kita kalah, kalah sama-sama dari bawah, pemain, pihak kejurulatihan dan pengurusan.

“Kita kena ‘cuci’ balik apa masalah kita. Pemilihan pemain, persiapan tidak cukup, minit permainan pemain yang dipanggil tidak cukup.

“Banyak faktor sebenarnya. Kalau cakap sekarang A sampai Z, esok pun tidak habis tetapi kalau tanya saya, minit permainan pemain yang dipanggil tidak cukup,” katanya.

Malaysia yang kali terakhir muncul juara pada 2010 memulakan kempen dengan mengalahkan Kemboja 3-1 sebelum membenam Laos 4-0.

Anak-anak buah Cheng Hoe bagaimanapun mula menyerlahkan kelemahan selepas tumpas 0-3 kepada juara bertahan, Vietnam, diikuti kekalahan kepada Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya