Liverpool, Bayern lawan cuba dielak - Utusan Malaysia

Liverpool, Bayern lawan cuba dielak

LIVERPOOL menumpaskan AC Milan 2-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B kelmarin, untuk memenangi semua enam perlawanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Memenangi semua enam perlawanan peringkat kumpulan menjadikan Liverpool dan Bayern Munich pasukan cuba dielak apabila undian aksi kalah mati Liga Juara-Juara diadakan di Nyon, Switzerland Isnin ini.

Setakat semalam, 15 pasukan sudah mengesahkan tiket ke pusingan 16 akhir, manakala satu lagi slot akan ditentukan Atalanta dan Villarreal yang berentap untuk tiket terakhir Kumpulan F hari ini.

Lapan juara kumpulan, Manchester City, Liverpool, Ajax, Real Madrid, Bayern, Manchester United, Lille dan Juventus diletak dalam balang yang sama, bermakna mereka tidak akan berentap sesama sendiri.

Pasukan dari negara sama juga tidak akan menentang satu sama lain di pusingan awal kalah mati, begitu juga kelab yang telah bertemu di peringkat kumpulan.

Diletak dalam ‘kumpulan maut’ bersama juara tujuh kali, AC Milan, Atletico dan juara dua kali, Porto, kemampuan Reds memenangi semua perlawanan Kumpulan B menjadikan juara enam kali itu pasukan paling menakutkan ketika ini.

Bayern yang juga juara enam kali turut berada dalam prestasi terbaik, termasuk mem­belasah Barcelona 3-0 semalam dan memenangi semua aksi Kumpulan E.

Ajax satu lagi pasukan yang melakar kemenangan bersih dalam Kumpulan C selepas mengenepikan Sporting Lisbon ke tangga kedua, Borussia Dortmund ketiga dan Besiktas tercorot.

BAYERN Munich menyingkirkan Barcelona daripada Liga Juara-Juara selepas membenam gergasi Sepanyol itu 3-0 semalam.

SENARIO UNDIAN PUSINGAN 16 AKHIR

MANCHESTER CITY
City yang mengenepikan Paris Saint-Germain (PSG) untuk muncul juara Kumpulan A berpotensi bertemu Atletico Madrid, Inter, Sporting Lisbon, Benfica, RB Salzburg atau Ata­lanta/Villarreal.

LIVERPOOL
Diundi menentang PSG senario cuba dielak anak-anak buah Jurgen Klopp. Reds juga berpotensi berdepan Lisbon, Inter, Benfica, Salzburg atau Villarreal/Atalanta.

AJAX
Menjuarai kumpulan yang dianggap ‘lemah’, Ajax antara juara kumpulan yang diinginkan oleh PSG, Atletico, Inter, Chelsea, Benfica, Salzburg atau Villarreal/Atalanta untuk bertemu pada pusingan 16 akhir berbanding pasukan lain.

REAL MADRID
Real bangkit daripada kekalahan mengejut kepada Sheriff Tiraspol untuk muncul juara Kumpulan D. Juara 13 kali itu berpotensi berdepan PSG, Lisbon, Chelsea, Benfica, Salzburg atau Atalanta.

BAYERN MUNICH
Juara Bundesliga ini satu-satunya kelab Jerman yang lolos ke peringkat kalah mati. Bermakna, lawan mereka sangat terbuka sama ada PSG, Atletico, Lisbon, Inter, Chelsea, Salzburg atau Villarreal/Atalanta.

MANCHESTER UNITED

MASON Greenwood meraikan jaringannya ketika menentang Young Boys semalam.

Juara kumpulan dengan mata paling rendah, selain Lille (11 mata). Di bawah bimbingan Ralf Rangnick, Red Devils berpotensi bertemu PSG, Atletico, Lisbon, Inter, Benfica atau Salzburg.

LILLE
Layak ke peringkat kalah mati buat kali kedua dalam sejarah selaku juara Kumpulan G. Juara Perancis itu dilihat calon ‘paling lemah’ dan menjadi kegemaran Atletico, Lisbon, Inter, Chelsea, Benfica atau Villarreal/Atalanta.

JUVENTUS
Selepas tewas 4-0 kepada Chelsea dalam aksi awal Kumpulan H, Juventus bangkit untuk muncul juara dan menjadi lawan cuba dielak PSG, Atletico, Lisbon, Benfica, RB Salzburg atau Villarreal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya