MUNICH: Xavi Hernandez berang dan kecewa Barcelona gagal melepasi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun, malah menyifatkan Liga Europa ‘bukan tempat kami’.
Pengendali Barca itu menerima hakikat, gergasi bola sepak Sepanyol tersebut terpaksa bermula dari ‘kosong’ selepas mengharungi detik paling sukar dalam sejarah kelab.
Kekalahan 0-3 kepada Bayern Munich dan kemenangan 2-0 Benfica ke atas Dynamo Kiev semalam meletakkan juara Eropah lima kali itu di tangga ketiga Kumpulan E.
Kali terakhir Barcelona terkeluar awal dalam saingan kelab elit Eropah itu adalah pada 2000-2001 ketika Liga Europa dikenali sebagai Piala UEFA.
Bagaimanapun pada musim 2003/2004 mereka gagal layak ke Liga Juara-Juara selepas menamatkan saingan La Liga di tangga keenam.
“Kami tidak melawan. Saya beritahu pemain, hari ini adalah permulaan baharu, titik perubahan, kami tidak boleh bermain di Liga Europa.
“Barcelona tidak berhak menerima semua ini. Saya tidak suka realiti yang kami hadapi ketika ini. Saya marah, kerana inilah hakikat kami.
“Bagaimanapun kami kena terima hakikat itu dan pandang ke depan kerana tiada pilihan.
“Banyak perkara perlu diubah. Kami kena bermula dari kosong dan bekerja lebih keras untuk mengembalikan Barca ke tempat yang sepatutnya, ia bukan Liga Europa,” kata Xavi. – AGENSI