KL City mahu 'berbulan madu' - Utusan Malaysia

KL City mahu ‘berbulan madu’

BOJAN HODAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pengendali Kuala Lumpur City Bojan Hodak memilih untuk menikmati masa rehat sepenuhnya selepas mengharungi jadual padat dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kerja keras Hodak dan pemainnya tanpa tempoh rehat yang cukup, akhirnya membuahkan hasil apabila skuad kendaliannya berjaya menamatkan kemarau 32 tahun untuk menjulang Piala Malaysia selepas menjinakkan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Taktikal jurulatih kelahiran Croatia itu, mengenalpasti kelemahan skuad Harimau Selatan dengan memilih untuk bermain psikologi dan emosi pemain JDT telah menyaksikan KL City berjaya melakar kemenangan 2-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Hodak, telah membimbing dua pasukan berbeza untuk menjulang trofi tersebut iaitu kali pertama ketika beliau bersama Kelantan pada 2012 yang turut menyaksikan pasukan itu meraih dua lagi kejuaraan iaitu Liga Super dan Piala FA.

Malah beliau, turut berterima kasih kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) KL City Stanley Bernard kerana mempercayai dan meyakinkannya untuk membimbing pasukan tersebut.

“Ia sukar kerana ketika Kelantan menentang JDT, terdapat ramai pemain kebangsaan tetapi dalam skuad ini hanya ada satu-dua sahaja pemain kebangsaan.

“Tetapi mereka (pemain KL City) adalah pasukan yang bekerja keras. Daripada semua pasukan yang pernah saya latih, pasukan ini mempunyai suasana hebat yang tidak boleh ditemui di tempat lain dan pada awalnya, kami tercicir dalam Liga Super tetapi separuh jalan mula membuat perubahan.

“Sebaik sahaja anda menang, anda menjadi lebih yakin yang menjadikan pasukan lebih kuat dan sebaik sahaja kami menewaskan salah satu yang terbaik, keyakinan bertambah dan dengan sedikit tuah hari ini (semalam) kami mencapainya,” kata Hodak, yang pernah membimbing tujuh kelab sepanjang kariernya bergelar jurulatih.

The City Boys bukan sahaja menamatkan kemarau 32 tahun tetapi lebih manis kejayaan itu hadir pada ulang tahun ke-100 Piala Malaysia.

Beraksi di hadapan kira-kira 20,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, KL melakukan kejutan menerusi jaringan Zhafri Yahya (minit ke-66) dan kapten Paulo Josue (minit ke-74) untuk merentap ego juara bertahan JDT.

KL City bukan sahaja tidak tewas dalam 23 perlawanan, 11 daripadanya Piala Malaysia, malah mereka juga layak ke Piala AFC 2022.

Kali terakhir KL bermain di Kejohanan Kelab Asia (kini dikenali sebagai Liga Juara-Juara Asia) pada 1989-90 di mana mereka menduduki tempat kedua dalam Kumpulan A.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya