KOTA BHARU: Kelantan Warriors mengikat bekas tekong kebangsaan, Muhammad Zulkifli Abd. Razak atau lebih terkenal dengan julukan Sobey bagi memperkasakan pasukan untuk mengharungi Emas Anuar Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) 2021 yang membuka tirai bulan depan.
Presiden Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah berkata, pada masa sama mereka turut membawa masuk perejam baharu, Fadzli Muhammad Roslan yang juga rakan sepasukan Sobey ketika beraksi dengan Terengganu Turtle pada musim lalu.
“Kita turut membawa masuk bekas tekong ATM Guardians musim lalu, Nazmi Mohd. Najib.
“Tiga muka baharu ini akan membentuk adunan bersama pemain lama yang sudah sebati dengan pasukan iaitu Aidil Aiman Azmawi, Nik Muhammad Afiq Mazlan, Muhammas Eqbal Shamsudin dan Wan Naim Izani Wan Noor,” katanya ketika melancarkan pasukan Kelantan Warriors kelmarin.
Kata Zuraidin, Kelantan Warriors membuktikan kesungguhan untuk memberi saingan dalam STL apabila membawa masuk bekas jurulatih KL Thunder, Azhar Sarbini dengan sasaran berada dalam kelompok tiga terbaik.