ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat pertahanan tempatan, Rimbun Emas Defence System Sdn. Bhd. (REDS Defence) bagi membentuk ‘ubi-ubi’ muda yang diharap membawa kegemilangan kepada arena bola sepak tanah air.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, melalui kerjasama tersebut KDA FC akan membantu REDS Defence berkaitan hal urus tadbir dan tata kelola akademi bola sepak remaja swasta dimiliki syarikat itu, Hijau Kuning Football Club (HKFC).
Katanya, langkah itu diyakini mampu menyemarakkan lagi semangat pemain muda untuk lebih berjaya dalam arena bola sepak, berikutan struktur pemasaran lebih luas yang memudahkan pemain berbakat diserap dalam mana-mana pasukan bola sepak profesional pada masa akan datang.
“Langkah dilakukan REDS Defence untuk bekerjasama dengan KDA FC sebagai rakan rasmi ini adalah sesuatu yang positif bagi membuka lebih banyak ruang kerjasama bersama syarikat swasta lain dalam mempelbagaikan sumber pendapatan akademi bola sepak tersebut melalui struktur pemasaran sedia ada.
“Saya percaya, langkah ini akan banyak membantu dalam mencari bakat-bakat baharu di Kedah. Sebelum ini, mungkin ada yang terlepas pandang dan sudah tentu apabila kerjasama ini terjalin, kita dapat mengumpulkan lebih ramai pemain-pemain muda untuk membentuk kelompok pemain berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas memeterai MoU tersebut bersama Pengarah Urusan REDS Defence, Muhammad Talhah Zainol di Pejabat KDA FC di sini hari ini.
Sementara itu Muhammad Talhah yang juga Presiden HKFC memaklumkan, pihaknya sebelum ini sudah menjalin kerjasama bersama La Liga Sepanyol dengan sasaran utamanya adalah untuk membawa idea-idea bola sepak di negara tersebut untuk dipraktikkan dalam pembangunan pemain muda di sini.
“Pada peringkat awal, kami akan membawa jurulatih untuk menimba ilmu di sana. Selepas itu, mungkin kita akan melakukan pertukaran pemain pula melibatkan pemain-pemain muda yang ada di sini.
“Dalam masa sama, kami juga sedang berunding untuk menjadikan Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai lokasi utama latihan berikutan fasaliti lengkap yang ada di sana.
“Jalinan kerjasama tersebut tidak hanya melibatkan aspek sukan semata-mata malah turut kegiatan akademik agar pemain-pemain ini dapat melanjutkan pelajaran di universiti itu pada masa akan datang jika berkelayakan,” katanya.