PETALING JAYA: Darren Lok memasang impian untuk memenangi kasut emas pada kempen Liga Malaysia musim depan selepas berasakan dia berpotensi meraih gelaran tersebut jika tidak dihantui kecederaan.
Penyerang Petaling Jaya City (PJ City) itu sepatutnya bersama pasukan kebangsaan pada kempen Piala AFF 2020 di Singapura namun tidak dapat menyertainya kerana belum sembuh sepenuhnya daripada kecederaan.
Darren, 30, terlepas sebanyak 13 perlawanan Liga Super susulan kecederaan di bahagian fibula dan turut diketepikan dalam skuad kebangsaan tempoh hari apabila mengalami kecederaan otot di bahagian perut.
“Otot di bahagian perut saya ada sedikit koyak dan saya diberitahu ia akan memakan masa dalam empat hingga enam minggu untuk betul-betul pulih sepenuhnya.
“Kecederaan ini semakin baik cuma tidak 100 peratus lagi, jadi sebab itu saya kena pastikan semuanya akan kembali baik seperti biasa sebelum sepak mula musim depan.
“Jujurnya saya rasa saya boleh menjaringkan lebih banyak jika tidak cedera sebelum ini dan mungkin peluang untuk bersaing menjadi penjaring terbanyak itu akan ada untuk saya.
“Tapi, nak buat macam mana sebab kecederaan tetap berlaku dan sekarang adalah untuk lebih bersedia mempersiapkan diri di mana saya tekad ingin beraksi lebih cemerlang pada musim depan,” ujar pemain berdarah kacukan itu.
Darren akan kekal bersama PJ City untuk musim depan dan merasakan ia adalah keputusan tepat untuk terus kekal bersama pasukan tersebut buat musim kedua.