PETALING JAYA: Kurang menyerlah di pentas Liga Malaysia (Liga M) disebabkan kecederaan, namun Safawi Rasid nyata berada dalam kelas tersendiri di pentas Piala AFF 2020 apabila mencipta hatrik untuk membantu Harimau Malaya membenam Laos 4-0, sebentar tadi.
Jaringan pada minit ketujuh, 34 dan 80 membuktikan Safawi atau mesra disapa Pawi kembali menemui prestasi sebenarnya yang sebelum ini, cukup digeruni di pentas Asean dan Asia.
Lebih istimewa, Tan Cheng Hoe menurunkan 100 peratus pemain tempatan dalam kesebelasan utama selepas merehatkan Guilherme de Paula di bangku simpanan.
Kemenangan skuad Harimau Malaya dalam aksi kedua di Stadium Bishan, Singapura itu membolehkan mereka mengguli Kumpulan B dengan enam mata maksimum selepas mengalahkan Kemboja 3-1 pada aksi pertama, Isnin lalu.
Satu lagi jaringan diledak oleh pertahanan negara, Shahrul Saad pada minit ke-78 yang memanfaatkan lorongan menarik Baddrol Bakhtiar untuk gol ketiga negara.
Kemenangan ini juga pasti memberi keyakinan buat pemain Harimau Malaya menjelang aksi ketiga berdepan Vietnam pada Ahad ini dan Indonesia (19 Disember) bagi memburu dua tempat teratas ke separuh akhir.