PETALING JAYA: Kegagalan berdepan corak permainan intensiti tinggi Indonesia antara faktor utama Harimau Malaya kalah 1-4 kepada Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan B Piala AFF kelmarin, sekali gus meranapkan impian untuk mara ke separuh akhir.
“Kami tidak cukup kuat dalam situasi satu lawan satu dan kami gagal menahan pemain mereka yang sangat pantas terutama dalam transisi permainan.
“Secara keseluruhan kami kecewa dengan keputusan itu tetapi kami perlu lupakannya untuk terus melangkah ke depan,” kata pengendali Malaysia, Tan Cheng Hoe.
Bekas pengendali Kedah itu turut mengakui, ketiadaan dua tonggak termasuk kapten, Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Shahrul Saad menjejaskan bahagian pertahanan.
“Sudah pasti ketiadaan dua pertahanan kami, Aidil dan Shahrul menjejaskan kestabilan di bahagian pertahanan tapi saya fikir secara keseluruhan kami sangat kecewa dengan keputusan dan kami harus bergerak ke hadapan,” jelasnya.
Pada aksi terakhir Kumpulan B itu, skuad Harimau Malaya yang membawa misi wajib menang mendahului pada minit ke-13 hasil jaringan R. Kogileswaran.
Klebihan itu bagaimanapun dipadam dengan dua jaringan Irfan Jaya pada minit ke-36 dan 43 sebelum Pratama Arhan dan Elkan Baggott menambah dua lagi gol buat Indonesia pada babak kedua.