Harimau Malaya mangsa keadaan - Utusan Malaysia

Harimau Malaya mangsa keadaan

Harimau Malaya gagal memenuhi sasaran mara ke perlawanan akhir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pada ketika banyak pihak melepaskan kemarahan kepada Tan Cheng Hoe, pemain dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas kegagalan skuad kebangsaan dalam kempen Piala AFF 2020, bekas pemain negara, Datuk Jamal Nasir percaya, Harimau Malaya sebenarnya mangsa keadaan.

Tegas Jamal, kekangan masa menyebabkan Cheng Hoe hanya boleh membawa 24 pemain dengan sebahagian besar yang dipilih pula kurang minit permainan.

Katanya, penangguhan Liga Malaysia (Liga M) beberapa kali ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pula tiada pilihan selain menganjakan Piala Malaysia sehingga ke hujung November.

JAMAL NASIR

“Orang keliling yang tidak tahu akan kata sana salah dan sini salah, termasuk menuding jari kepada jadual Liga Malaysia, namun adakah anda tahu jadual ini sudah dipinda dan disusun banyak kali untuk kesesuaian kedua-dua pihak (Liga Malaysia dan Harimau Malaya) dengan mengambil kira faktor keadaan semasa yang tidak menentu.

“Umum mengetahui tarikh untuk daftar 30 pemain ialah pada 24 November dan tidak seperti pasukan negara lain yang saingan domestik mereka sudah habis, Malaysia pula masih ada pemain-pemain yang beraksi untuk separuh akhir dan final Piala Malaysia.

“Jurulatih pastinya tidak boleh mendaftarkan pemain buat masa itu kerana bimbang ada yang dihimpit isu kecederaan maka dari situ saya lihat kita terlepas peluang mendaftarkan lebih ramai pemain kerana sudah melepasi tarikh tutup pendaftaran.

“Kita tidak boleh menuding jari kepada sesiapa kerana situasi semasa memang tidak menentu dengan kebenaran Liga Malaysia bermula semula agak lewat dan ada perlawanan yang tertangguh akibat isu Covid-19,” katanya.

KEKALAHAN 1-4 kepada Indonesia menyingkirkan Malaysia dari Piala AFF 2020.

Jamal juga menekankan tidak adil juga sekiranya ada yang beranggapan kegagalan Harimau Malaya menjadi kayu pengukur kepada peta hala tuju F:30.

“Berjaya atau tidak F:30 bukan terletak kepada kejayaan Harimau Malaya di Piala AFF semata-mata.

“F:30 mempunyai cabang lebih luas, termasuk dari segi urus tadbir, jika hendak dinilai skuad B-22 negara layak ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun depan.

“Bagi saya kegagalan di Piala AFF bukan pengakhir cerita buat industri bola sepak negara secara keseluruhan,” jelasnya.

PEMAIN tengah Malaysia, Mukhairi Ajmal Mahadi ketika beraksi menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan B Piala AFF di Singapura.- IHSAN FAM

Kata Jamal, apa yang penting, semua pihak bersabar dan tunggu sahaja post-mortem yang akan diadakan pada masa terdekat ini.

“Saya juga bekas pemain kebangsaan, jika kita marah dan kecewa bayangkan pemain serta jurulatih juga mempunyai perasaan yang sama, siapa yang mahukan kekalahan?

“FAM juga dalam kenyataan baru-baru ini mengakui kegagalannya dan bakal keluarkan laporan bedah siasat dalam masa terdekat.

“Janganlah kita memaki jurulatih mahupun pihak pengurusan, kita cari punca kegagalan dan baiki dari situ bukan tuding jari,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya