PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya bukan sahaja gagal ke separuh akhir Piala AFF 2020, malah lebih menyedihkan mereka dimalukan Indonesia 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, sebentar tadi.
Beraksi cukup baik pada permulaan permainan dan hasilnya gol pembukaan diperolehi menerusi rembatan kencang pemain tengah Kogileswaran Raj seawal minit ke-13 meletakkan Harimau Malaya mendahului.
Larian deras Safawi Rasid dari sebelah kiri gawang Indonesia pada minit ke-24 sebelum pertahanan Alfeandra Dewangga menolaknya menggunakan tangan tetapi tindakan itu gagal menarik perhatian pengadil perlawanan Ammar Ebrahim Hasan Mahfoodh untuk memberikan sepakan penalti.
Malaysia dihidangkan peluang menggandakan jaringan namun situasi satu lawan satu antara penyerang negara Syafiq Ahmad dengan penjaga gol Indonesia Nadeo Argawinata pada minit ke-35 gagal disempurnakan dalam bentuk gol.
Sebaliknya, seminit kemudian pasukan Garuda berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah Irfan Kumi dan gol itu nyata menyemarakkan semangat pemain Indonesia untuk mengasak benteng Malaysia.
Tekanan demi tekanan dilakukan Indonesia berjaya membuahkan jaringan dengan ia bermula menerusi gerakan solo Pratama Arhan mengatasi tiga pemain negara sebelum rembatannya terbias namun tindakan susulan Irfan menghadirkan gol kedua buat pasukannya tiga minit sebelum berakhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, Indonesia tidak menunggu lama untuk menambah jaringan kali ini menerusi rembatan menarik Arhan dari luar kotak penalti untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat buat kali ketiga pada minit ke-50.
Tersentak dengan jaringan itu, pengendali negara Tan Cheng Hoe telah membuat beberapa pertukaran termasuk meletakkan Dion Cools beraksi di jentera serangan namun ia belum cukup untuk pasukan negara memperolehi gol.
Amaran yang dilaungkan ketua jurulatih Indonesia Shin Tae-yong untuk bermain terbuka dan menyerang bagi meraih kemenangan nyata bukan ‘cakap kosong’ apabila anak buahnya menambah derita Malaysia menerusi gol keempat yang diledak oleh pemain gantian Elkan Baggott pada minit ke-82.