PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe hanya mahu pemain yang ada ‘hati’ menyarung jersi Malaysia di pentas antarabangsa.
Beliau berdepan cabaran besar bagi menghadapi Piala AFF 2020 yang bermula di Singapura, Isnin ini apabila kehilangan ramai tonggak akibat kecederaan, manakala ada pemain menarik diri kerana isu peribadi.
Jurulatih berusia 53 tahun itu berkata, beliau tidak ‘terasa hati’ dengan pemain yang enggan melapor diri apabila dipilih menyarung jersi pasukan kebangsaan memandangkan kejohanan itu tiada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Sebagai jurulatih, saya sentiasa percaya kepada pemain yang ada hati untuk bermain dan mewakili pasukan kebangsaan. Jadi pintu sentiasa terbuka untuk mereka jika sudah bersedia nanti,” jelasnya kepada pemberita sebelum berlepas ke Singapura, semalam.
Cheng Hoe memilih 28 pemain untuk menyertai kem latihan yang bermula 22 November lalu tetapi tiga daripadanya
Darren Lok, Kenny Pallraj dan Akram Mahinan cedera, manakala Mohamadou Sumareh berdepan masalah peribadi.
Beliau tetap yakin 24 pemain yang dibawa ke Singapurabmemberi keseimbangan buat
pasukan, malah enggan membandingkan sama ada pasukan kali ini atau 2018 lebih baik.
“Kita rasa ada kesimbangan untuk pasukan kali ini, sudah tentu kita tidak boleh katakan skuad kali ini atau skuad 2018 lebih baik kerana ia membabitkan pemain berbeza.
“Daripada pasukan dua tahun lalu, masih ada tujuh hingga lapan pemain berada dalam pasukan manakala selebihnya muka baharu namun tiada banyak perbezaan,” uajarnya.
Sepanjang mengendalikan pasukan kebangsaan, perkara utama dititikberatkan Cheng Hoe adalah keharmonian dan semangat kekeluargaan sama ada di dalam dan luar padang.
“Selepas beberapa hari latihan kita nampak semua dalam keadaan baik dan bermotivasi untuk mengharungi Piala AFF kali ini.
“Dengan adanya pemain senior seperti Bad (Baddrol Bakhtiar), Aidil (Zafuan Abd. Radzak) dan Apex (Khairul Fahmi Che Mat), diharap mereka mampu membimbing pemain muda dan muka baharu dalam pasukan,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai keputusan menggugurkan tonggak Kedah, Fayadh Zulkifli bukan kerana dia tidak layak, namun karier pemain muda itu masih panjang.
Malaysia yang juga naib juara edisi lalu akan membuka kempen Kumpulan B menentang Kemboja, Isnin ini diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember) bagi memburu dua tempat teratas ke separuh akhir.