LONDON: Biarpun Lewis Hamilton berulang kali menegaskan, dia belum berhasrat untuk bersara, namun bekas bos Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone menjangkakan juara dunia tujuh kali itu tidak akan kembali musim depan.
Ecclestone adalah personaliti F1 terbaru menyuarakan pandangan mengenai Hamilton, yang dikatakan amat kecewa dengan kontroversi di Grand Prix (GP) Abu Dhabi, 12 Disember lalu yang menyebabkan dia kehilangan takhta dunia kepada Max Verstappen.
Hamilton, 36, dikatakan sudah berputus asa sejak kekalahan tersebut, malah enggan menghadiri majlis gala Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), selain mencuri perhatian dengan bertindak tidak mengikuti sesiapa pun di Instagram.
Ecclestone ditanya dalam temubual bersama Blick pandangan beliau tentang pemandu Mercedes itu.
“Tidak pasti, tapi beberapa hari lalu saya ada bercakap dengan bapanya.
“Saya dapat menangkap beliau tidak mahu menjawab soalan mengenai masa depan anaknya. Jadi kami hanya berbual mengenai perniagaan,” katanya.
Ditanya apakah yang sedang dilalui Hamilton, beliau tidak mempunyai jawapan tapi merasakan pelumba itu bakal meninggalkan F1.
“Saya tidak tahu tetapi saya tidak fikir dia akan kembali. Kekecewaannya terlalu besar. Anda boleh memahaminya dengan cara tertentu.
“Kini sudah tiba masanya selepas merangkul tujuh gelaran dunia, dia beralih kepada usahawan fesyen.
“Banyak perkara yang tidak kena pada pusingan akhir. Pengarah perlumbaan masih boleh menyelamatkan diri daripada masalah jika menghentikan perlumbaan serta-merta dengan bendera merah selepas kemalangan (Nicholas) Latifi.
“Ada beberapa perkara berlaku di sana tetapi tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengubahnya,” kata Ecclestone. – AGENSI