MANCHESTER: Michael Carrick membuat kejutan apabila meninggalkan Manchester United sejurus selepas pasukan itu menang 3-2 ke atas Arsenal hari ini.
Carrick, 40, yang menggalas tugas pengurus sementara selepas pemecatan Ole Gunnar Solskjaer bulan lalu memberitahu pemain dia akan pergi sebaik sahaja tamat perlawanan.
Memandangkan United melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara sehingga akhir musim, Carrick merasakan adalah sebaiknya dia meletak jawatan sebagai jurulatih.
“Ia bukan keputusan yang mudah untuk dilakukan, namun saya rasa sekarang masa yang tepat.
“Selepas bersara sebagai pemain, saya bercadang untuk bercuti seketika tetapi itu tidak berlaku, jadi sekarang masanya untuk berehat daripada bola sepak.
“Ia 100 peratus keputusan saya. Sepanjang minggu lalu saya sedar saya menghormati kelab dan pengurus yang datang.
“Saya fikir ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan buat kelab dan Ralf, jadi saya cukup gembira dengan itu.
“Kami berada dalam situasi di mana terdapat tanggungjawab untuk terus menguruskan pasukan menghadapi beberapa perlawanan (selepas pemecatan Solskjaer).
“Kesetiaan kepada Ole sedikit faktor tetapi terdapat banyak perkara lain yang membawa kepada keputusan saya,” kata Carrick.
Carrick menyarung jersi United dari Tottenham pada 2006 sebelum menyertai barisan kejurulatihan sebaik sahaja bersara sebagai pemain pada 2018.
Sepanjang bergelar pemain, dia beraksi dalam 464 perlawanan, menjulang lima kejuaraan Liga Perdana, satu Liga Juara-Juara dan satu Piala FA
Dia sempat membimbing United dalam tiga perlawanan – menang dua daripadanya ke atas Villarreal dan Arsenal, selain seri 1-1 dengan pendahulu liga, Chelsea. – AGENSI