IPOH: Wakil Perak, BRM FC dari Kuala Kangsar menyasarkan muncul juara Liga M3 musim 2022, sekali gus kenaikan ke Liga Perdana pada 2023.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Ghafari Muhamad Nasir yakin sasaran itu mampu dicapai tambahan pula dengan kehadiran bekas pemain Perak dan Kedah, Azmeer Yusof serta beberapa bekas pemain Perak dalam pasukan itu seperti Mohd. Noor Hazrul Mustafa dan Mohammad Fikri Sudin.
“Sasaran kami adalah juara M3 sekali gus layak ke Liga Perdana tahun berikutnya ” kata Ghafari selepas majlis menandatangani kontrak dengan Azmeer di sini semalam.
Bekas pemain Perak dan Kedah itu kembali dari persaraan kerana tertarik dengan BRM FC.
Azmeer mengumumkan persaraan pada Mei tahun lalu kerana ingin menumpukan kepada penubuhan pondok tahfiz yang dibukanya di samping beberapa perniagaan miliknya.
“Saya sasarkan tahfiz dalam dua tahun tapi dalam masa setahun sudah siap dan juga segala perniagaan saya, setakat ini Alhamdulillah baik dan setiap perniagaan dah ada orang jaga.
“Oleh itu saya rasa tidak ada apa-apa masalah untuk saya kembali bermain bola sepak,” katanya.
Menurut Azmeer, dia memilih untuk bermain dengan BRM FC kerana tertarik dengan visi dan misi kelab itu walaupun telah berbincang dengan beberapa pasukan lain.
Pemain pertahanan itu mengakui walaupun pernah mengeluarkan kenyataan untuk bermain secara percuma dan bersedia menjadi penaja, pihak pengurusan kelab masih mahu membayar gajinya, seperti pemain yang lain. – UTUSAN ONLINE