Baru main sudah tunjuk power - Utusan Malaysia

Baru main sudah tunjuk power

NURUL Azurin Mazlan cemerlang dalam penampilan sulung bersama Misaka United pada saingan Liga Wanita Karnataka di India.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penampilan pertama Nurul Azurin Mazlan bersama Misaka United cukup manis apabila bukan sahaja membantu pasukan melakar kemenangan 4-0 ke atas Bengaluru Braves dalam perlawanan ketiga Liga bola Sepak Wanita Karnataka, malah tidak dibolosi.

Keputusan itu menyaksikan pasukan tersebut mengekalkan rekod tiga kemenangan selepas memulakan aksi pertama de­ngan menewaskan Slamzers Belgaum 4-0 dan menundukkan Maatru Pratistana FC 1-0.

Dalam aksi itu, penjaga gol skuad bola sepak wanita kebangsaan itu beberapa kali diuji jentera serangan lawan namun berjaya mengawal gawangnya daripada dibolosi.

“Alhamdulillah perlawanan memihak kepada kami, boleh menang lagi banyak tapi serangan tak dapat sudahkan semua peluang tetapi yang penting adalah tiga mata, selain tidak dibolosi.

“Sebelum sepak mula macam risau juga sebab persekitaran berbeza, apatah lagi ini penampilan pertama saya tapi saya gembira dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

“Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan kerana membantu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Aksi cemerlang yang ditampilkan pemain berusia 21 tahun tersebut memberi ke­gembiraan kepada kelab liga amatur India itu untuk mengharungi kempen saingan 2021/22 yang merupakan pertandingan edisi ketiga.

Azurin yang berlepas ke India Khamis lalu menyahut cabaran selepas kelab ber­kenaan sudi untuk menanggung kos penginapan, makan serta tiket kapal terbang buatnya.

“Perjalanan ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana saya sudah berdepan banyak cabaran. Pelbagai masalah perlu saya hadapi dalam memastikan perkara ini dapat direalisasikan.

“Secara jujur, saya hampir berputus asa kerana melakukan urusan yang sangat memenatkan. Alhamdulillah dengan izin Allah, semua berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Misaka United gembira mendapatkan khidmat penjaga gol No.1 skuad wanita kebangsaan itu.

“Kelab sangat gembira dan bangga untuk mengumumkan pemain import pertama, Nurul Azurin Mazlan dalam baki sai­ngan musim 2021/22,” kata ­Misaka dalam satu kenyataan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya