BARCELONA: Barcelona berminat mendapatkan Pierre-Emerick Aubameyang secara pinjaman pada jendela perpindahan Januari selepas bekas kapten Arsenal itu berdepan masalah dengan pasukannya.
Begitupun, kekangan terbesar yang dihadapi gergasi bola sepak Sepanyol tersebut adalah gaji penyerang itu yang tinggi iaitu 350,000 pound (RM1.94 juta) seminggu, terutama ketika berdepan krisis kewangan.
Aubameyang, 32, dikatakan berlatih bersendirian sejak kehilangan lilitan kapten minggu lalu dan dijangka kekal di luar rancangan pengurus Gunners, Mikel Arteta sehingga dia berlepas ke Piala Negara-Negara Afrika bersama Gabon, akhir bulan ini.
Ketika ini Barcelona sedang giat mencari dua penyerang baharu pada apabila jendela perpindahan dibuka bulan depan selepas kehilangan Sergio Aguero yang bersara minggu lalu kerana masalah jantung.
Turut berada dalam radar pasukan itu adalah Ferran Torres, namun penyerang muda Manchester City tersebut boleh menelan belanja 50 juta pound (RM277.80 juta).
Mereka turut memburu bintang veteran Manchester United, Edinson Cavani.
Selepas bersetuju dengan kontrak baru 12 bulan pada musim panas lalu, Cavani hanya membuat tiga permulaan bersama United musim ini kerana kecederaan kaki, selain faktor kepulangan Cristiano Ronaldo ke Old Trafford.
Pemain berusia 34 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou sejak beberapa minggu lalu tetapi United dikatakan mahu mengekalkan penyerang Uruguay tersebut yang kini berbaki enam bulan kontrak.
Sementara itu, Newcastle berusaha mendapatkan penyerang Lyon, Moussa Dembele yang pernah dipinjamkan kepada Atletico Madrid dengan perpindahan bernilai 30 juta pound (RM167 juta). – AGENSI