PETALING JAYA: Senario pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga M) berbelanja bagi mendapatkan import baharu untuk menghadapi musim baharu semakin ‘suram’ dengan kebanyakan mereka memilih hanya memancing pemain dari kelab pesaing.
Perkembangan itu menyebabkan keterujaan peminat untuk melihat ‘wajah baharu’ pasukan kegemaran masing-masing semakin berkurangan.
Ejen bola sepak terkenal negara, Effendi Jagan Abdullah mengakui, sejak pandemik Covid-19 melanda negara, saingan bola sepak tempatan tidak semeriah sebelum ini.
Keadaan itu akan berterusan pada kempen tahun depan dan ia dapat dilihat daripada segi pembelian pemain-pemain import baharu yang boleh disifatkan sekadar ‘kitar semula’.
“Semua pasukan dilihat berbelanja secara berhemah, bajet pun sudah kurang sekali gus menyaksikan kebanyakan pasukan memilih untuk recylce (kitar semula) pemain import sedia ada.
“Mungkin ia langkah bagus untuk pasukan menjimatkan kos kerana pemain import sedia ada sudah serasi dengan corak bola sepak tempatan dan mudah serasi dengan pasukan.
“Begitupun pada pandangan saya bila guna recylce pemain, kurang (kemeriahan), selain tidak mampu buat peminat-peminat teruja untuk melihat pemain import beraksi.
“Sebab bila liga bermula sudah tentu pemain import baharu antara yang mencuri tumpuan peminat kerana tidak pernah lihat aksi mereka di liga tempatan tapi bila tengok pemain import sedia ada, ia sudah menjadi perkara biasa dan tiada kelainan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Contohnya, Terengganu FC menandatangani gandingan Kedah, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche yang sudah beberapa musim beraksi dalam liga tempatan.
Begitu juga, Melaka United mendapatkan khidmat Ifedayo Olusegun (Selangor), manakala Kedah pula ‘memancing’ Jang Suk Won (Melaka United) dan Dechi Marcel (Terengganu FC).