KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merombak struktur kejurulatihan bagi memantapkan prestasi pemain dengan Piala Thomas 2022 menjadi fokus utama mereka.
Meletakkan final Piala Thomas sebagai misi terbesar tahun depan, badan badminton kebangsaan itu memecahkan bahagian kejurulatihan.
Wong Choong Hann yang sebelum ini menggalas tugas Pengarah Kejurulatihan BAM akan memegang jawatan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan.
Jurulatih yang pernah menaikkan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Rexy Mainaky yang sebelum ini dilantik Penolong Pengarah Kejurulatihan dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Kejurulatihan Beregu.
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Kenny Goh berkata, keputusan itu dibuat setelah menilai prestasi atlet berdasarkan pelbagai kejohanan yang disertai sepanjang tiga bulan lalu terutama di Eropah dan Bali, Indonesia.
Menurutnya, struktur baharu ini bagi memudahkan jurulatih dan pengurusan memberi tumpuan dengan lebih terperinci bagi kategori masing-masing.
“Biasanya kita, bila bercakap mengenai ulasan prestasi, ada pengguguran, ada kenaikan, ya itu normal.
“Tahun hadapan kita akan menghadapi banyak kejohanan besar termasuk Piala Thomas, sudah tentu itu kejohanan paling kita berharap untuk sertai, saya yakin kita pasti dapat melakukannya dengan lebih baik berbanding tahun ini,” katanya.
Kedua-dua jawatan baharu ini akan mengendalikan jurulatih skuad elit dan skuad simpanan.