PETALING JAYA: Penjaga gol skuad wanita kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan kini dalam proses menyesuaikan diri sebaik sahaja tiba di India untuk memulakan ‘penggembaraan baharu’ dalam karier bola sepaknya.
Katanya, semua berjalan lancar dan tiada masalah kerana dia sememangnya suka mencari cabaran baharu.
“Baik-baik sahaja, segalanya buat masa sekarang tiada sebarang masalah untuk saya di sini.
“Cuaca juga okay 18 darjah celcius ketika sesi latihan pagi tadi (semalam),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Tonggak skuad bola sepak wanita kebangsaan berusia 21 tahun itu ditawarkan beraksi selama dua bulan bersama sebuah kelab Liga Amatur India dan difahamkan Azurin akan diperkenalkan secara rasmi esok oleh kelab berkenaan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, demi mencari pengalaman ‘mahal’, Nurul Azurin sedia menerima tawaran beraksi di sebuah negara yang cukup asing buatnya.
Keberanian untuk berkelana turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutama bekas-bekas pemain, malah media sosial Azurin juga dihujani kata-kata semangat daripada rakan sepasukannya.
Nurul Azurin mula mencuri tumpuan selepas beraksi cemerlang ketika Malaysia menumpaskan Palestin 2-0 pada Kelayakan Piala Asia Wanita 2022, September lalu.