PETALING JAYA: Berikutan prestasi kurang memberangsangkan skuad Harimau Malaya dalam Piala AFF baru-baru ini, Akademi Wira Muda (AWM) mahu mempergiatkan usaha melahirkan pemain bola sepak berbakat pada masa akan datang.
Pengasas AWM, Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib berkata, pengambilan pelatih akademik juga akan dipergiatkan sehingga mencecah 150 pemain bermula tahun depan.
Katanya, segala kemudahan lengkap telah dinaik taraf termasuk padang latihan yang boleh digunakan pada waktu malam.
“Pengurusan kami akan menggunakan modul latihan terbaik untuk lahirkan pemain berkualiti.
“Yang penting kami akan terus komited untuk melahirkan lebih ramai pemain muda bola sepak profesional yang memerlukan latihan intensif yang lebih efisien dan mantap oleh jurulatih bertauliah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu AWM menerima sumbangan lebih RM20,000 untuk pemasangan lampu limpah di pusat latihannya di Mara Excellent Centre (MEC) di Nibong Tebal, Pulau Pinang disamping kabin untuk kemudahan surau serta pejabat.
Sumbangan diberikan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman yang juga Timbalan Menteri Alam Sekitar Dan Air.
Ditubuhkan pada Oktober 2018, AWM pada awalnya hanya memiliki jumlah pelatih sekitar 80 orang kini semakin berkembang walaupun berdepan penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu apabila terpaksa menghentikan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerak (PKP).