LONDON: Mikel Arteta percaya, Arsenal semakin kuat dan dahagakan gol selepas mengukuhkan kedudukan kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris dengan membenam Norwich 5-0, awal pagi tadi.
Jaringan Bukayo Saka dan Kieran Tierney meletakkan Gunners mendahului 2-0 pada babak pertama.
Saka menambah jaringan di separuh masa kedua sebelum Alexandre Lacazette menyempurnakan sepakan penalti dan pemain gantian, Emile Smith Rowe melengkapkan kemenangan kelima berturut-turut.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/Screenshot_2021-12-27-09-39-33-88_40deb401b9ffe8e1df2f1cc5ba480b12-600x414.jpg)
“Kami pergi ke setiap perlawanan untuk memberi tekanan dan kemenangan hari ini adalah contoh terbaik.
Kami kelihatan sangat tajam dan komited sepanjang permainan.
“Ia kemenangan besar buat pasukan untuk mengukuhkan kelompok empat terbaik liga,” kata Arteta.
Sementara itu, Tottenham kembali mencabar kedudukan empat terbaik dengan melonjak ke melonjak ke tangga kelima, enam mata di belakang Arsenal selepas menewaskan Crystal Palace 3-0.
Palace yang memohon perlawanan ditunda kerana kes Covid-19 yang melanda pasukan, dikecewakan oleh Liga Perdana kerana terpaksa beraksi tanpa pengendalinya, Patrick Vieira.
Palace masih mampu menurunkan skuad terkuatnya dengan hanya satu pertukaran dilakukan berbanding perlawanan sebelum ini.
Spurs yang diberi nafas baharu oleh Antonio Conte membuka jaringan pada minit ke-32 menerusi Harry Kane yang meledak gol ketiganya dalam liga musim ini.
Dua minit berselang, Lucas Moura menanduk gol kedua Tottenham dan harapan Palace untuk bangkit semakin sukar selepas Wilfried Zaha dibuang padang sebelum rehat.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/Screenshot_2021-12-27-09-47-15-30_0b2fce7a16bf2b728d6ffa28c8d60efb-600x393.jpg)
Son Heung-min melengkapkan kemenangan Spurs 16 minit sebelum tamat permainan.
Dalam satu lagi perlawanan, hasrat West Ham untuk kembali dalam kelompok empat teratas semakin sukar apabila tewas 2-3 kepada Southampton di tempat sendiri. – AGENSI