PETALING JAYA: Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi melengkapkan musim gemilangnya apabila dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) yang diadakan secara virtual, semalam.
Paling menarik, bintang berusia 19 tahun itu melakar sejarah menjadi pemain paling muda merangkul anugerah utama itu, memadam rekod rakan sepasukannya, Safawi Rasid yang menang pada 2018 di usia 21 tahun.
Arif yang menjadi watak penting JDT ketika menjulang trofi Liga Super buat kali kelapan, Piala Sumbangsih dan naib juara Piala Malaysia turut mengungguli Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.
Pemain lincah yang mencetak tiga gol dan tiga bantuan gol daripada 31 penampilan musim ini berkata, kejayaan yang dikecapi ini tidak akan dicapai tanpa sokongan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta rakan sepasukan.
“Alhamdulillah saya dinobatkan sebagai pemenang MVP dan ini kali pertama saya menang anugerah dalam karier sebagai pemain bola sepak profesional.
“Terima kasih kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor) kerana sentiasa menjadi tulang belakang, begitu juga jurulatih Benjamin Mora, barisan kejurulatihan kerana sentiasa memberi sokongan dan percaya kepada saya untuk bermain banyak perlawanan tahun ini.
“Terima kasih kepada rakan sepasukan dan pemain-pemain senior yang banyak membantu ketika saya mula menyertai pasukan JDT.
“Tidak tidak dilupa juga kepada semua penyokong saya,” katanya yang kini bersama skuad Harimau Malaya bagi mengharungi kempen Piala AFF 2020 di Singapura.
Bagaimanapun Arif tidak keseorangan membawa pulang trofi ABK21 ke kem JDT apabila Matthew Davies meraih gelaran Pertahanan Terbaik buat kali kedua selepas 2017, manakala Farizal Marlias mengatasi Kalamullah Al-Hafiz dan Khairul Fahmi Che Mat untuk merekod gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali keenam selepas 2009, 2015, 2018, 2019 dan 2020.
Penyerang dari Brazil, Bergson da Silva meraih Kasut Emas menerusi 30 gol dalam semua pertandingan musim ini, malah Harimau Selatan turut gah memenangi gelaran Pasukan Terbaik.
Kuala Lumpur City (KL City) yang mencipta kejutan menjuarai Piala Malaysia sempena ulang tahun ke-100 turut cemerlang di pentas ABK21 apabila Bojan Hodak menerima Anugerah Jurulatih Terbaik mengatasi Benjamin Mora (JDT) dan Nafuzi Zain (Terengganu FC).
SENARAI PENUH PEMENANG ABK21
PENJAGA GOL TERBAIK
Farizal Marlias (JDT)
PERTAHANAN TERBAIK
Matthew Davies (JDT)
PEMAIN TENGAH TERBAIK
Baddrol Bakhtiar (Kedah)
PENYERANG TERBAIK
Arif Aiman Hanapi (JDT)
JURULATIH TERBAIK
Bojan Hodak (Kuala Lumpur City)
PEMAIN MUDA TERBAIK
Arif Aiman Hanapi (JDT)
PEMAIN IMPORT TERBAIK
Romel Morales (Kuala Lumpur City)
PASUKAN TERBAIK
Johor Darul Ta’zim (JDT)
FAIR PLAY, FAN XI
Skuad Projek FAM-MSN
PEMAIN PALING BERNILAI
Arif Aiman Hanapi (JDT)
ANUGERAH KASUT EMAS
(penjaring terbanyak)
Liga Super
Ifedayo Olusegun (Selangor) 26 gol
Tempatan
Baddrol Bakhtiar (Kedah) 7 gol
Liga Perdana
Fernando Rodriguez (JDT II), Jordan Mintah (Terengganu FC II) 16 gol
Tempatan
Nurshamil Abd. Ghani (Kelantan FC) 9 gol