PETALING JAYA: Kejayaan menggondol tiga trofi, termasuk Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 (ABK21) menjadi tonik buat Arif Aiman Hanapi sebelum membuka kempen Piala AFF di Singapura esok.
Paling menarik, bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 19 tahun itu melakar sejarah muncul pemain termuda merangkul anugerah MVP, memadam rekod rakan sepasukannya Safawi Rasid yang menang pada 2018 di usia 21 tahun.
Arif yang menjadi watak penting JDT ketika menjulang Liga Super kali kelapan berturut-turut, selain muncul naib juara Piala Malaysia turut mengungguli trofi Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.
Pemain lincah itu menjaringkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan dalam 31 penampilan musim ini.
“Alhamdulillah saya dinobat sebagai pemenang MVP dan ini anugerah pertama saya sebagai pemain bola sepak profesional.
“Terima kasih kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) kerana sentiasa menjadi tulang belakang.
“Begitu juga jurulatih, Benjamin Mora, barisan kejurulatihan, rakan sepasukan dan pemain senior yang banyak membantu ketika saya mula masuk ke JDT,” katanya.
Bagi Anugerah Penyerang Terbaik, Arif mengenepikan dua lagi calon akhir, Darren Lok (Petaling Jaya City) dan Faisal Halim (Terengganu FC).
Dia turut mengatasi dua pemain Selangor, Ahmad Danial Ahmad Asri dan Mukhairi Ajmal Mahadi untuk anugerah Pemain Muda Terbaik.
JDT pula dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik ABK21.