Zii Jia perlu berehat seminggu - Utusan Malaysia

Zii Jia perlu berehat seminggu

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sakit pinggang yang belum sembuh memaksa Lee Zii Jia menarik diri daripada aksi pembukaan badminton Indonesia Masters di Bali semalam, sekali gus meletakkan nasibnya sama ada boleh bertanding pada Terbuka Indonesia dan Siri Super Akhir tidak ketentuan.

Juara All England itu menarik diri ketika ketinggalan 9-11 di set pertama kepada pemain Denmark, Rasmus Gemke.

Zii Jia, 23, mengalami kece­deraan sama ketika terpaksa menghentikan perlawanan dalam final Terbuka Hylo di Jerman, dua minggu lalu berdepan pemain ­Singapura, Loh Kean Yew.

“Pinggang dia masih belum sembuh, masih ada sakit jadi, bagi Lee Zii Jia rehat seminggu lagi.

“Selepas itu kita tengok macam mana. Masih ada kejohanan ming­gu depan, takut kalau dipaksa sekarang, seluruh bahagian belakangnya menjadi lebih teruk,” kata jurulatih perseorangan negara, Hendrawan ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Perkembangan Zii Jia nyata meresahkan peminat badminton negara kerana dia dikhuatiri me­ngalami kecederaan akibat kepenatan melampau selepas beraksi dalam lima kejohanan berturut-turut di Eropah sebelum ini.

Zii Jia perlu ber­aksi dalam salah satu kejohanan di Indonesia – Masters atau Terbuka (23-28 November) sebagai syarat untuk beraksi dalam Siri Super Akhir yang menawarkan AS$1.5 juta (RM6.23 juta) dan turut berlangsung di Bali dari 1-5 Disember ini.

Sementara itu, pemenang ­pi­ngat perak Sukan Olimpik 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dikejutkan pasangan No. 52 dunia, Jones Ralfy Jansen-Linda Efler dari Jerman 13-21, 19-21 dalam beregu campuran.

Cabaran Malaysia pada kejohanan bernilai AS$600,000 (RM2.5 juta) itu bagaimanapun diteruskan dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See.

Pang Ron-Yee mendapat kemenangan percuma ke atas lawan dari Jepun, Yujiro Nishikawa-Saori Ozaki, manakala Tang Jie-Yen Wei menewaskan wakil Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kim Hye Jeong 21-17, 21-13.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya