PETALING JAYA: Buat masa ini, Lee Zii Jia akan tetap beraksi pada kejohanan badminton Terbuka Indonesia yang bermula di Bali hari ini, namun jika keadaannya tidak bagus dia mungkin menamatkan permainan lebih awal.
Minggu lalu, jaguh No. 7 dunia itu menarik diri ketika berdepan pemain Denmark, Rasmus Gemke pada pusingan pertama Indonesia Masters.
Itu kali kedua berturut-turut juara All England tersebut menarik diri disebabkan kecederaan belakang.
Dia turut menamatkan permainan lebih awal ketika bertemu Loh Kean Yew dari Singapura dalam final Terbuka Hylo di Jerman pada 8 November.
Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata, Zii Jia, 23, tidak lagi berasa sakit dan memutuskan untuk beraksi, di mana dia akan bertemu Gemke sekali lagi.
“Sampai hari ini, semuanya okey buat Lee Zii Jia dan dia akan beraksi dalam Terbuka Indonesia seperti dijadualkan.
“Begitupun, kita akan tengok bagaimana keadaannya sehingga saat akhir sebelum perlawanan pertama. Harap semuanya baik dan dia boleh meneruskan pertandingan,” kata Hendrawan kepada Utusan Malaysia.
Menurut Hendrawan, keutamaan ketika ini adalah memastikan itu cergas untuk beraksi pada Kejohanan Dunia di Sepanyol dari 12-19 Disember.
Cabaran perseorangan lelaki negara pada kejohanan bernilai AS$850,000 (RM3.5 juta) itu turut digalas pemain profesional, Liew Daren yang akan membuka kempen dengan berdepan jaguh tuan rumah, Jonatan Christie.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang kandas pada separuh akhir Indonesia Masters minggu lalu bakal mengetuai cabaran beregu lelaki bersama Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong, Goh V Shem-Low Juan Shen dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Malaysia tidak memiliki wakil dalam perseorangan wanita tetapi membariskan Pearly Tan-M. Thinaah, Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien untuk acara beregu.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mahu menebus kekecewaan tersingkir di pusingan pembukaan Indonesia Masters apabila turun menentang pasangan tuan rumah, Zachariah Josiahno Sumanti-Hediana Julimarbela hari ini.
Turut membawa cabaran beregu campuran adalah Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Goh Soon Huat-Shevon Lai, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei hope dan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See.