PETALING JAYA: Biarpun mempamer prestasi tidak menentu sejak muncul juara All England, Mac lalu, Lee Zii Jia meraih pengiktirafan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas dicalonkan untuk anugerah Pemain Paling Meningkat 2020/2021.
Lebih membanggakan, beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut berada dalam senarai akhir pencalonan anugerah berkenaan.
Kedua-dua wakil negara itu akan bersaing dengan perseorangan wanita Thailand, Pornpawee Chochuwong, selain pemenang pingat emas beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020, Wang Chi Lin-Lee Yang dari Taiwan.
Zii Jia yang baru melonjak ke ranking No. 7 dunia menjuarai gelaran antarabangsa pertamanya pada All England, selain muncul naib juara Terbuka Hylo di Jerman, Ahad lalu.
Aaron-Wooi Yik pula meraih pingat gangsa di Olimpik Tokyo, Julai lalu selain muncul naib juara Terbuka Thailand, Januari lalu.
Sementara itu, Cheah Liek Hou pula menjadi pilihan utama untuk memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik Badminton Para.
mencipta sejarah meraih pingat emas perseorangan lelaki SU5 dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020, September lalu, yang menyaksikan badminton membuat penampilan pertama.
Liek Hou akan bersaing dengan lima lagi calon lain iaitu Pramoo Bhagat dari India, Kim Jungjun (Korea Selatan), Lucas Mazur (Perancis), Daiki Kajiwara (Jepun) dan Qu Zimo (China).
BWF dalam satu kenyataan berkata, pemenang anugerah bagi setiap kategori akan diumumkan dalam majlis yang akan diadakan sempena saingan Jelajah Dunia BWF di Bali, Indonesia bermula Selasa ini.