BARCELONA: Xavi Hernandez yang memulakan tugas sebagai pengurus baharu Barcelona, Rabu lalu meletakkan 10 peraturan yang wajib diikuti semua pemainnya.
Kembali ke Camp Nou untuk menggantikan Ronald Koeman, legenda kelab berusia 41 tahun itu menunjukkan keseriusan dalam usaha mengembalikan kegemilangan Barcelona yang kini menghuni tangga kesembilan La Liga dengan 11 mata ditinggalkan pendahulu, Real Sociedad.
Pernah merangkul pelbagai kejuaraan, termasuk Piala Dunia, Kejuaraan Eropah (Sepanyol), Liga Juara-Juara dan La Liga (Barcelona) sepanjang kariernya yang gemilang, Xavi melihat ada beberapa perkara asas perlu diperbetulkan sebelum pergi ke peringkat lebih jauh. – AGENSI
10 PERATURAN BAHARU
1. Pemain wajib tiba sejam setengah lebih awal untuk sesi latihan.
2. Kakitangan pula wajib hadir dua jam sebelum latihan untuk tujuan persiapan.
3. Pemain wajib makan di pusat latihan, Cuitat Esportiva mengikut menu dan diet ditetapkan.
4. Pemain akan didenda (sejumlah wang) jika gagal hadir mengikut masa ditetapkan.
5. Kesalahan berulang akan menyebabkan denda digandakan. Di bawah bimbingan Luis Enrique pemain pernah didenda sehingga 6,000 euro (RM28,686).
6. Pemain tidak dibenarkan bermalam di rumah sekurang-kurangnya 48 jam sebelum perlawanan. Dua hari sebelum perlawanan, mereka perlu ada di rumah masing-masing.
7. Kesebelasan utama akan ditentukan berdasarkan prestasi ketika latihan. Tiada keistimewaan atau jaminan kepada mana-mana pemain.
8. Aktiviti pemain di luar padang akan dipantau bagi mengelak risiko kecederaan. Luncur air contohnya tidak dibenarkan sepanjang musim berjalan.
9. Pemain dan pegawai yang mewakili Barcelona wajib menjaga tingkah laku sebaik mungkin sama ada ketika bersama pasukan atau bercuti.
10. Xavi dijangka mengehadkan cuti pertengahan musim kerana dia tidak berminat dengan idea pemain terbang merentasi dunia sedangkan ada perlawanan akan berlangsung dalam masa terdekat.