LONDON: Xavi percaya, Mohamed Salah adalah kunci kepada misinya membina semula Barcelona dan dia amat serius untuk ‘merampas’ penyerang Mesir itu daripada Liverpool.
Salah berada di kemuncak prestasi dan mengulangi pencapaian musim 2017-2018 apabila meledak 15 gol dalam 15 perlawanan, sehingga ada yang menganggapnya pemain terbaik dunia ketika ini.
Barcelona melantik Xavi menggantikan Ronald Koeman dengan misi menyelamatkan kelab, dan dia tahu kehadiran Salah mampu merealisasikan cita-citanya.
Kelab Catalan itu kehilangan Lionel Messi pada musim panas dan kredibiliti Salah boleh melegakan tekanan.
Xavi mahu pemain berusia 29 tahun itu mengisi kekosongan Messi dengan apa cara sekalipun, menurut El Nacional.
Kontrak Salah akan tamat pada Jun 2023, bermakna Reds perlu segera menyambung perjanjian atau melepaskan pemain itu jika tidak mahu berdepan risiko kehilangannya dengan percuma.
Ketika ini, Liverpool masih belum memeterai perjanjian jangka panjang dengan Salah, terutama selepas dia menuntut kenaikan gaji.
Gaji Salah sekarang adalah 200,000 pound (RM1.15 juta) seminggu. – AGENSI